SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 1
ANAK 4-5 TAHUN.
Pada usia ini adalah lebih senang bercakap dengan anak
anda kerana mereka sudah boleh memahami arahan. Namun itu tidak bermaksud
mereka akan mendengar segala arahan anda kerana pada usia ini mereka juga
mempunyai idea mereka sendiri dan mahukan kita mendengar idea mereka juga.
Selain itu mereka sangat suka bertanya itu dan ini. Kadang-kadang itu tidak berhenti sampaikan anda
pening. Pernah ibu ditanya mengenai perkara seperti ini. Ibu yang bertanya itu
menyatakan anaknya tak berhenti bercakap dan bertanya soalan. Sampai dia tidak
boleh berfikir. Penat nak melayan katanya. Dia meminta pertolongan ibu apa
hendak dibuat.
Jawapan ibu; dengarkan dan layankan saja. Puan
tidak akan mendapat lagi masa yang sebegini dimana anda adalah rujukan utamanya
dalam semua perkara yang dia hendak tahu. Layankan. Ini cuma satu fasa yang
jika puan guna dengan baik akan menjalinkan pertalian yang sangat rapat dengan
anak anda itu. Jika tidak tahu jawapannya, katakana saja tidak tahu. Dan ajak
dia mencari jawapan bersama di dalam buku-buku atau komputer. Inilah masa untuk
memperkenalkan NIKMAT MEMBACA!
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI FB DAY 11
PART 2
Anak pada usia ini perlu diberi bermain di luar dengan
aktif bersama kawan-kawan. Pada usia ini seorang anak itu sudah mula pandai
berkawan, bertolak-ansur, berkongsi dan menunggu giliran. Sepatutnya dia juga
boleh bertolak ansur dengan adik-adik atau abang kakaknya. Jika ini tidak
berlaku, masalahnya adalah bukan kerana dia tidak pandai bergaul tetapi terdapat perasaan dengki yang disebabkan cara
anda sebagai ibu bapa membahagi kasih sayang dan mempamerkannya kepada dia.
Jika itulah masalahnya, maka usahakanlah untuk
menunjukkan kasih-sayang kepadanya dan perlu dikatakan dan ditunjukkan bahawa
kasih-sayang anda kepada setiap anak-anak anda adalah sama.
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 3
ANAK USIA 4-5 TAHUN
Pada usia ini, anak anda akan ‘curious’ dan ‘explore’
untuk mengetahui mengenai alat kelaminnya dan orang lain. Ini TIDAK ada kaitan dengan
anak itu akan jadi kuat seks atau tidak! Ini hanyalah satu tahap pembelajaran
yang naluri bagi manusia.
Mungkin anak anda akan meneliti alat kelamin adiknya
atau yang sepertinya. Jika anda ternampak,
RELAKS, buat bersahaja dan menerangkan apakah benda itu dan fungsinya secara
sainstifik. Terangkan dengan TENANG.
Jika anda sebagai ibu bapa ‘melatah’ dan menuduh
anak itu dengan tuduhan yang buruk dan berkait dengan seks pula, maka inilah
yang memberi kesan negatif terhadap anak itu mengenai seks bila dia sudah
remaja nanti. Satu kepercayaan buruk boleh tertanam dengan ‘latah’ anda itu,
iaitu ‘seks adalah kotor’.
Cara hendak mengatasinya ialah anda perlu
berfikiran kehadapan. Sebelum dia mahu bertanya dan tahap ini sampai, anda
sudah membeli buku dan telah mula bercerita sedikit sebanyak. Dalam masa yang
sama, walaupun telah bercerita, mereka tetap akan lebih hendak tahu dan hendak
explore.
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 4
ANAK USIA 4-5 TAHUN
Lagi satu soalan yang sering memeningkan ibu bapa ialah
bila anak mereka bertanya; ‘Mama, saya datang dari mana. Macamana saya boleh
jadi.’
Soalan begini dipanggil soalan ‘ The birds and bees’.
Setengah ibu bapa tersipu-sipu menjawabnya. Tak perlu
tersipu-sipu. Jawap dengan bijak dengan menggunakan ilmu Sains. JANGAN pula
mereka-reka cerita yang bukan-bukan dan jangan juga menyuruh mereka diam dan
memarahi mereka kerana bertanya.
Nanti ibu akan kongsikan cara yang ibu gunakan. Anda
boleh ikut jika sesuai : )
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 5
UMUR 4-5 TAHUN
Di sini ibu kongsikan sedikit penulisan ibu yang ibu
petik daripada buku ibu ‘Membina Anak-Anak Cemerlang’.
Sama ada kita benarkan atau tidak, tiba masanya
anak-anak akan melihat dan memeriksa bahagian tubuh mereka. Ini terjadi ketika
umur mereka menjangkau 3 hingga 6 tahun. Sekiranya mereka mempunyai
adik-beradik yang agak sebaya, tetapi
berlainan jantina, mereka mungkin akan sedar mereka sangat berbeza dari segi
fizikal. Mungkin mereka akan bertanya mengapakah ada perbezaan. Nasihat saya
kepada anda semua, bertenang dan terangkan kepada mereka secara terus-terang
dan mudah.
Anak-anak tidak mempunyai apa-apa pandangan tentang
seks. Mereka menerimanya daripada anda. Sekiranya anda sering berasa malu
apabila tajuk ini diketengahkan, fikirkan apakah kepercayaan yang didapati oleh
mereka mengenainya. Ingatlah, sekiranya mereka bertanyakan tentang tajuk ini,
mereka sebenarnya benar-benar ingin tahu. Mereka bukan bersikap nakal atau
jahat. Mereka hanya ingin belajar. Oleh yang demikian, ambil kesempatan ini
untuk berkongsi pengetahuan ini dengan cara yang betul dengan mereka.
Saya teringat ketika saya ditemu ramah di
televisyen tentang tajuk pendidikan seks. Penemu ramah program itu berkata, dia
amat takut untuk menghadapi hari di mana anak kecilnya akan bertanya, “Ibu,
bagaimanakah saya boleh dilahirkan?” katanya. Dia sedar bahawa dia mesti
bersedia untuk menjawabnya sebelum ditanya. Satu corak pemikiran yang baik.
Itulah yang sepatutnya dibuat oleh semua ibu bapa. Bersedia.
Apakah pula yang telah saya lakukan ketika ditanya
oleh anak-anak tentang soalan itu? Saya bersyukur kepada Tuhan kerana telah
memberikan saya kebijaksanaan untuk menjawab soalan itu. Saya masih ingat, saya
membuat keputusan untuk mengajar anak saya tentang perkara ini dalam suasana
yang bersahaja, penuh kasih sayang, dan riang. Saya mahu anak-anak saya berasa
puas hati setelah mendengar jawapan saya. Saya tidak mahu mereka mempunyai
tanggapan bahawa seks itu adalah tidak baik. Walaupun ketika itu pengetahuan
saya tentang keibubapaan sungguh terhad, saya sedar jawapan saya kepada soalan
itu akan mewarnai tanggapan anak-anak saya kepada topik seks ini.
Semua anak saya telah dewasa kecuali anak saya yang
bongsu. Saya juga berbicara dengan mereka tentang bagaimana saya memberikan
jawapan kepada mereka tentang perkara ini ketika mereka masih kecil. Saya
gembira mendengar maklum balas daripada mereka bahawa saya telah membuatkan
mereka berasa selesa untuk bertanyakan soalan yang sedemikian pada ketika itu.
Saya tidak menyuruh mereka ‘diam’, sebaliknya saya memberikan penerangan dengan
bahasa yang mudah tetapi benar. Sesuatu yang mengembirakan mereka ialah saya
menggunakan banyak peluang yang ada untuk menerangkan perkara tersebut dengan
bersahaja tanpa berselindung kepada mereka.
Anak perempuan saya yang sulung teringat ketika
kami menonton filem Look Who’s Talking. Ketika itulah saya menerangkan
kepadanya tentang bagaimana bayi diwujudkan. Dia mengatakan babak pengenalan
filem itu ada menunjukkan berjuta-juta sperma sedang berenang. Saya menggunakan
babak itu untuk menghuraikan kejadian bayi. Anak perempuan saya yang seorang
lagi mencelah tentang bagaimana istimewanya kita kerana daripada berjuta-juta
sperma itu cuma satu sahaja yang menjadi kita. Kitalah pemenang. Ini yang
membuatkan dia terfikir bagaimana istimewanya dirinya.
Dalam semua situasi, apa yang mengingatkan mereka
ialah saya telah menjawab semua persoalan itu dengan cara yang mudah. Tiada
rasa malu atau perasaan terlarang, tetapi dengan penuh kasih sayang dan
gembira. Ini membuatkan mereka berasa tiada apa-apa yang patut dimalukan.
Mereka agak terperanjat apabila mendapati ramai antara kawan mereka tidak
berpeluang langsung untuk membuka mulut untuk bertanyakan kepada ibu bapa
mereka tentang persoalan demikian. Ada antara kawan mereka mempunyai perasaan
yang negatif terhadap tajuk yang membincangkan tentang seks. Yang didapati oleh
mereka ialah ramai antara kawan mereka yang berpandangan negatif mengenai seks,
terlibat dengan hubungan seks ketika masih remaja. Alasannya, mereka tidak
dibimbing mengenai perkara ini dan hormon yang terseksa di dalam diri mereka
meronta-ronta ingin menyelidik dan merasai pengalaman itu. Inilah yang akan
terjadi sekiranya anak-anak kita tidak diberikan bimbingan yang betul tentang
perkara ini.
Jangan biarkan wujudnya perasaan malu menyelubungi
suasana setiap kali anak anda menyoal tentang topik seks ini. Maksudnya, anda
mestilah menyampaikan kepada mereka satu hakikat bahawa seks sesuatu yang indah
dengan direstui oleh Pencipta apabila mengikut lunas-lunas yang betul. Ini
telah jelas, kerana Tuhan memberikan pedoman tentang perkara ini.
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 6
ANAK USIA 4-5 TAHUN.
Jangan risau lebih jika anak anda yang berusia 4-5
tahun ini mula mereka-reka cerita. Mereka bukan bercakap bohong, mereka hanya
berkhayal dan berimaginasi. Jika ada yang berbohong, hanyalah kerana mahu
menyelamatkan diri. Jika ada juga yang berniat berbohong kerana suka dan mahu
memperdayakan orang lain, maka sememangnya itu
memerlu pertolongan dan terapi.
Kanak-kana biasa yang pada usia akan bercerita
seolah-olah betul akan perkara yang dia olahkan di dalam mindanya. Mereka suka
berlakun menjadi mak ayah. Bermain, masak-masak, jadi mak atau ayah, atau
Ultraman atau Superman… semua itu bukan mereka sudah pandai berbohong. Mereka
sudah sampai usia suka berkhayal dan berimaginasi.
Jika dididik dan diberi pengasahan kebolehan mereka
ini, inilah yang boleh menjadi Einstein, Steven Spielberg atau Walt Disney dan
ramai mereka-mereka yang hebat menggunakan daya otak kanan dan menggabungkan
dengan otak kiri.
SEMINAR PARENTING BIJAK IBU ROSE DI
FB DAY 11 PART 7
ANAK USIA 4-5 TAHUN.
Biasanya anak pada usia ini
1- Boleh bercakap dengan jelas dan mudah difahami.
Tidak pelat sangat, cuma sikit-sikit. Jika terlalu pelat, maka bawalah berjumpa
pakar.
2- Suka bermain dengan kawan-kawan dan suka berkawan.
Jika anak anda takut dan enggan bermain dengan kawan, selidiklah masalahnya
mengapa. Mungkin tidak biasa atau takut
keran sering ditakut-takutkan.
3- Boleh menggunakan kaki, tangan dan anggota badan
dengan baik. Boleh ‘skip’, melompat dari tempat yang dua kaki tinggi atau lebih
dengan selamat. Boleh memanjat dan turun dengan selamat. Sudah boleh menulis
dan membuat bentuk manusia dengan ada kepala, tangan, badan dan kaki. Mungkin
belum jari-jemari lagi.